Saturday, January 30, 2010

Majlis Tahlil Anjuran Kemas Balik Pulau

Pada 30 Januari 2010 jam 12.30 tengahari, Kemas Balik Pulau dengan kerjasama JKKKP Kampung Binjai telah mengadakan Majlis Tahlil di Tabika Kemas, Kg. Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Turut hadir YB Tuan Syed Amerruddin (ADUN Bayan Lepas), En. Jaafar Mastan (Pengerusi JKKP Kg. Binjai), En. Basri Mastan (Pengerusi Qaryah Masjid Kg.Binjai), En Jamaluddin Fadzil (Penyelia Kanan Kemas Parlimen Balik Pulau) serta semua staf Kemas Parlimen Balik Pulau, waris-waris simati serta penduduk tempatan. Kita memohon Allah swt mencucuri rahmat kepada semua arwah-arwah khususnya Allahyarhamah Hamisah Bt. Ibrahim (Penyelia Pra Sekolah), Hjh Haminah Bt. Hashim, (Pemaju Masyarakat Bayan Lepas), Julia Bt. Md. Noor (Pemaju Masyarakat Kg. Seronok), Norhashimah Bt. Jaafar (Pemaju Masyarakat Kg. Binjai) dan Tn Hj. Mansor Hj. Nordin (Bekas Penyelia Kanan Kemas Parlimen Balik Pulau). Kesempatan ini Kemas Parlimen Balik Pulau ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengerusi Qaryah dan JKKKP Kg. Binjai yang turut dan memberi kerjasama bagi menjayakan majlis tersebut.

Saturday, January 16, 2010

:: Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam






Pada 16 Januari 2010 jam 9.30 pagi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bayan Lepas telah mengadakan Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah di luar Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan. YB Tuan Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad telah menyampaikan baucer kepada semua ibu bapa atau penjaga yang hadir pada hari tersebut. Turut hadir menyaksikan majlis penyampaian itu ialah Cik Nuru Niza, wakil Pejabat Pembangunan Negeri. Kira-kira 152 penerima bantuan telah menerima baucer masing-masing.

Saturday, January 9, 2010

:: Program Turun ke Padang - Kg. Bagan dan Bukit Gemuroh






Pada 20 Disember 2009, Ahad YB Tuan Syed Amerruddin telah mengadakan lawatan bersama pemimpin-pemimpin setempat ke beberapa kawasan seperti Flat Taman Sahabat, Kg. Bagan dan Kg. Bukit Gemuroh. YB Syed sempat berdialog dengan sekumpulan masyarakat kaum Cina di Flat Taman Sahabat yang mewakili kaum peniaga dan juga persatuan nelayan. Beberapa masalah telah dibangkitkan seperti cadangan menaiktaraf bangsal nelayan, menaiktaraf gelanggang bola keranjang dan tandas awam, pembinaan jeti nelayan di Bagan dan penurapan semula jalan kampung Bukit Gemuroh. Kira-kira jam 11.30 pagi lawatan selesai, beliau terus menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Sukaneka anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan yang diadakan di Kg. Nelayan, Teluk Kumbar.

:: Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Majlis Rumah Terbuka DUN Bayan Lepas anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan dan Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas pada 11 Oktober 2009, Ahad yang lalu telah mendapat sambutan yang amat baik dari penduduk sekitar Teluk Kumbar. Pengunjung yang datang terdiri dari pelbagai kaum mencerminkan semangat 1 Malaysia mulai diterima rakyat. Pelbagai juadah dan minuman telah disediakan oleh para petugas yang bertungkus lumus memastikan makanan dan minuman mencukupi.
Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan serta seluruh ahli jawatankuasa kerja yang telah bekerja keras sejak beberapa bulan yang lalu sebagai persiapan bagi mengadakan Jamuan Terbuka pada kali ini. Sekalung tahniah patut diberikan kepada Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan, Sdr Ahmad Safri dan ahli jawtankuasanya di atas kejayaan itu.
Kesempatan ini YB Tuan Syed Amerruddin mengucapkan terima kasih kepada semua para pengunjung yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka pada tahun ini dan beliau memohon maaf sekiranya ada kekurangan atau kelemahan di mana-mana di sepanjang majlis itu berlangsung. Beliau berharap majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ianya dapat merapatkan hubungan silaturahim dan kemesraan di kalangan rakyat pelbagai kaum melalui semangat 1 Malaysia.

:: Program Ziarah Keluarga-Keluarga OKU!










Ahad,
13 Sept. 2009 YB Syed Amerruddin telah menziarahi beberapa keluarga yang kurang bernasib baik di kawasan Teluk Kumbar. Beliau telah menyampaikan sumbangan duit raya daripada UDA kepada setiap keluarga yang diziarahi. Pengidap penyakit lumpuh sebahagian badan, Saidin berumur kira-kira 62 tahun mengidap penyakit lumpuh sejak 6 tahun yang lalu. Sebenarnya golongan orang kurang upaya masih ramai yang menghadapi nasib yang sama perlu pembelaan dan sumbangan daripada pihak-pihak yang berkemampuan. Seperti tahun-tahun lalu, UDA sekali lagi sudi menghulur sumbangan kepada golongan miskin dan yang tidak bernasib baik bagi meringankan beban mereka untuk persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. YB Syed Amerruddin selaku wakil rakyat kawasan DUN Bayan Lepas telah mengadakan beberapa siri lawatan ke kampung-kampung untuk menyampaikan sendiri bantuan Hari Raya kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada semua Pengerusi JKKKP dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang telah membantu Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas untuk mengenalpasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

:: Pelancaran Program Menjalur Gemilangkan Bandar




Pada 30 Ogos 2009 diadakan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Pulau Pinang di Pusat Khidmat KADUN Bayan Lepas yang dihadiri oleh Pengerusi-Pengerusi JKKKP kawasan DUN Bayan Lepas. Pengarah JASA turut hadir dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh YB Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas. Selepas majlis YB Syed, Pengarah JASA dan beberapa Pengerusi JKKK menyertai aktiviti menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemilik-pemilik premis perniagaan di kawasan Bandar Baru Telok Kumbar.

:: Kebakaran rumah penduduk di Kg. Masjid, Telok Kumbar




Kira-kira jam 12.15 tengah malam, wakil rakyat DUN Bayan Lepas, YB Tuan Syed Amerruddin tiba di tempat kejadian kebakaran selepas beliau mempengerusi suatu mesyuarat di tempat lain. Kehadiran wakil rakyat pada waktu lewat malam itu sedikit sebanyak melegakan mangsa kebakaran tersebut. Tuan punya rumah, Pn Selamah Hj. Mohamad tidak ada di rumah semasa kejadian. Kebakaran yang dikatakan berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu turut merosakkan sebahagian rumah kepunyaan En. Ahmad Said. Pengerusi dan Setiausaha JKKK (P) turut mengikuti lawatan itu bagi kali yang kedua. YB Tuan Syed Amerruddin meminta pemimpin tempatan khususnya Pengerusi JKKK(P) berusaha memberi bantuan melalui saluran yang sedia ada. Punca kejadian masih belum diketahui.

:: AKTIVITI SEKITAR TAHUN 2008 (YANG SEMPAT DIRAKAM)




:: PUSAT KHIDMAT DUN BAYAN LEPAS DIBUKA

Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas telah beroperasi mulai awal bulan Disember 2008 bertempat di No.14, Tingkat Atas, Bandar Baru Telok Kumbar berkongsi ruang pejabat dengan Kelab Sukan Komuniti Bayan Lepas. Wakil Rakyat Kawasan Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, YB Tuan Syed Amerruddin Dato Syed Ahmad mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Pusat Khidmat Khidmat beliau. Selaku wakil rakyat yang berpengalaman, beliau bersedia untuk mendengar dan membantu penduduk yang ada masalah. Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas ini akan dibuka pada setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat pada setiap sesi pagi. Sebelah petang, beliau akan membuat lawatan kerja serta menghadiri perjumpaan-perjumpaan dengan pemimpin masyarakat dan sebagainya. Pegawai khas beliau juga bersedia untuk membantu penduduk semasa ketiadaan beliau di pejabat.