Wednesday, September 15, 2010

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN HARI RAYA ADUN BAYAN LEPAS

Pada 5 Sept. 2010 jam 11.00 pagi di Dewan Perda Teluk Kumbar berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 1431H oleh YB Tn Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad untuk keluarga kurang bernasib baik dan anak-anak yatim di kawasan DUN Bayan Lepas. Turut hadir di majlis penyerahan bantuan tersebut ialah ketua-ketua cawangan UMNO dan Pengerusi-Pengerusi JKKKP. Di antara mereka yang hadir ialah Hj. Nordin Ahmad (Pengerusi JKKKP Bukit Gemuroh), Md. Rosli Md. Saaid (Pengerusi JKKKP Teluk Kumbar), Rosli Hashim (Pengerusi JKKKP Sg. Batu), Johar (Ketua UMNO Cawangan Binjai) dan lain-lain.
Selepas bacaan doa oleh Ustaz Abd, Ghani, Ketua UMNO Cawangan Bandar Baru Perda, YB Syed Amerruddin memberi ucapan ringkasnya sebelum menyampaikan sumbangan pada pagi itu. Kira-kira 350 penerima telah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri pada hari itu termasuklah nelayan-nelayan yang menjadi mangsa ribut baru-baru ini. Majlis tamat kira-kira jam 12.30 tengah hari. Insyaallah, sumbangan seumpama itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang jika diizinkan Allah.

Thursday, July 8, 2010

Kerajaan Pulau Pinang tidak peduli nasib kampung Melayu?

KECEWA dan hampa. Dua perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan perasaan Shima Ismail, 37, salah seorang penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang terhadap sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak endah dengan nasib mereka.
Dia yang merupakan generasi kelima mendiami kampung yang berusia hampir 100 tahun di tengah-tengah bandar Georgetown itu ternyata buntu fikiran kerana tidak tahu kepada siapa lagi untuk menagih simpati.
"Memang kami berharap sangat kerajaan negeri masuk campur.
"Kalau bukan mereka, siapa lagi yang boleh tolong kami?" katanya.
Keluh-kesah Shima memang ada kebenarannya.

Kerajaan negeri adalah pihak yang terbaik untuk menyelesaikan masalah penduduk kampung berkenaan. Ini kerana, mereka boleh campur tangan dengan tidak membenarkan sebarang projek pembangunan di situ jika membabitkan kepentingan awam.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Syed Amerruddin Syed Ahmad memberitahu, kerajaan negeri boleh membatalkannya dan mengisytiharkan tapak kampung itu sebagai zon kampung tradisi.

Apabila telah diwartakan sedemikian, kerajaan negeri berhak mengambil alih kampung terbabit daripada pemaju.

Tindakan tersebut sekali gus dapat menyelamatkan kediaman penduduk kampung daripada menjadi mangsa pembangunan yang ha nya mementingkan keuntungan semata-mata.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna kampung tersebut tidak boleh dibangunkan langsung tetapi perlu dilakukan tanpa menjejaskan bentuk tradisi kampung Melayu.

"Kerajaan negeri ada hak untuk tidak meluluskan projek pembangunan di Kampung Jalan Pokok Asam dan mewartakan sebagai zon kampung tradisi.

"Ini bermakna sebarang bentuk pembangunan perlu mengekalkan ciri-ciri tradisi asal kampung," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rabu lalu, kira-kira 200 penduduk di Kampung Jalan Pokok Asam hampir diusir.
Operasi pengusiran penduduk yang majoriti nelayan sepatutnya dijalankan pada hari tersebut dengan sebuah jentolak dibawa untuk kerja-kerja merobohkan rumah.

Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan bersama beberapa penduduk dengan pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam, tempoh pengosongan ditangguhkan selama tiga bulan hingga 13 Oktober depan.

Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur. Kini sebuah lagi kampung Melayu di kawasan sama bakal mengalami nasib serupa. Kira-kira 100 buah rumah yang dihuni kira-kira 450 penduduk di Kampung Tengah yang terletak bersebelahan Kampung Jalan Pokok Asam bakal dibangunkan untuk projek komersial oleh sebuah syarikat pemaju lain dalam waktu terdekat. Menurut Syed Amerruddin, pampasan antara RM70,000 dan RM75,000 yang ditawarkan pemaju kepada penduduk kampung ternyata tidak setimpal jika dibandingkan dengan harga semasa rumah di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, dengan wang sebanyak itu, sudah pasti mereka terpaksa berpindah ke tempat lain kerana harga semasa rumah di kawasan sekitar melebihi RM100,000. Katanya, semasa Pulau Pinang di bawah pen tadbiran Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri akan memastikan pemaju mendirikan rumah un tuk menggantikan kediaman setiap penduduk kampung yang terlibat dengan projek pembangunan.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memastikan kebajikan penduduk dijaga sehingga rumah baru mereka siap. "Sebelum rumah ganti siap, penduduk kampung akan diberi bantuan kewangan untuk menyewa rumah lain atau didirikan rumah transit. "Kos untuk pemindahan pun kerajaan negeri bantu," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau melihat kerajaan negeri sekarang seolah-olah tidak peduli dengan nasib kampung-kampung Melayu terbabit.

Beliau menambah, campur tangan pemimpin kerajaan negeri merupakan salah satu cara penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini seterusnya membela nasib orang Melayu.

Sumber: Utusan Malaysia 8 Julai 2010

Monday, February 15, 2010

Lawatan Tangani Masalah Perparitan di Teluk Kumbar


Pada 12 Februari 2010 jam 11.30 pagi YB Syed Amerruddin bersama Pengerusi Qaryah Teluk Kumbar, Dato' Prof. Muhamad Idiris, wakil Desa Tersusun Kg Matahari Jatuh, Hj. Abd. Rahman, Hj. Maidin dari JPS Daerah Barat Daya dan pegawai ICU telah mengadakan lawatan di beberapa tempat khususnya berkaitan sistem perparitan dan sungai di belakang Masjid Teluk Kumbar. Perbincangan langsung di antara wakil-wakil qaryah dan penduduk setempat dengan pihak JPS dan ICU menunjukkan suatu usaha yang positif. Beberapa cadangan seperti penambahan parit konkrit dan pengubahsuaian saiz parit/sungai bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan telah diberi perhatian yang serius oleh JPS dan juga ICU. Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bayan Lepas mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan terutama JPS Barat Daya dan ICU serta Pengerusi Qaryah Teluk Kumbar dan wakil penduduk Desa Tersusun Matahari Jatuh yang turut hadir dalam perjumpaan dan perbincangan itu.



Sunday, February 7, 2010

Program Motivasi Pelajar Blok Teluk Kumbar


Pada 7 Februari 2010 jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar telah diadakan Program Motivasi Pelajar Peringkat Blok Teluk Kumbar anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia PKBM Georgetown dengan kerjasama Kemas Balik Pulau. Kehadiran ibu bapa serta pelajar kira-kira 300 orang itu telah dirasmikan oleh YB Tuan Syed Amerruddin, ADUN Bayan Lepas. Tema program "Insan Terpilih Insan Tersisih" telah berjaya membangkitkan kesedaran dan semangat di kalangan ibubapa dan anak-anak yang hadir untuk berubah dan mencapai kecemerlangan diri.



Saturday, January 30, 2010

Majlis Tahlil Anjuran Kemas Balik Pulau

Pada 30 Januari 2010 jam 12.30 tengahari, Kemas Balik Pulau dengan kerjasama JKKKP Kampung Binjai telah mengadakan Majlis Tahlil di Tabika Kemas, Kg. Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Turut hadir YB Tuan Syed Amerruddin (ADUN Bayan Lepas), En. Jaafar Mastan (Pengerusi JKKP Kg. Binjai), En. Basri Mastan (Pengerusi Qaryah Masjid Kg.Binjai), En Jamaluddin Fadzil (Penyelia Kanan Kemas Parlimen Balik Pulau) serta semua staf Kemas Parlimen Balik Pulau, waris-waris simati serta penduduk tempatan. Kita memohon Allah swt mencucuri rahmat kepada semua arwah-arwah khususnya Allahyarhamah Hamisah Bt. Ibrahim (Penyelia Pra Sekolah), Hjh Haminah Bt. Hashim, (Pemaju Masyarakat Bayan Lepas), Julia Bt. Md. Noor (Pemaju Masyarakat Kg. Seronok), Norhashimah Bt. Jaafar (Pemaju Masyarakat Kg. Binjai) dan Tn Hj. Mansor Hj. Nordin (Bekas Penyelia Kanan Kemas Parlimen Balik Pulau). Kesempatan ini Kemas Parlimen Balik Pulau ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengerusi Qaryah dan JKKKP Kg. Binjai yang turut dan memberi kerjasama bagi menjayakan majlis tersebut.

Saturday, January 16, 2010

:: Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam






Pada 16 Januari 2010 jam 9.30 pagi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bayan Lepas telah mengadakan Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah di luar Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan. YB Tuan Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad telah menyampaikan baucer kepada semua ibu bapa atau penjaga yang hadir pada hari tersebut. Turut hadir menyaksikan majlis penyampaian itu ialah Cik Nuru Niza, wakil Pejabat Pembangunan Negeri. Kira-kira 152 penerima bantuan telah menerima baucer masing-masing.

Saturday, January 9, 2010

:: Program Turun ke Padang - Kg. Bagan dan Bukit Gemuroh






Pada 20 Disember 2009, Ahad YB Tuan Syed Amerruddin telah mengadakan lawatan bersama pemimpin-pemimpin setempat ke beberapa kawasan seperti Flat Taman Sahabat, Kg. Bagan dan Kg. Bukit Gemuroh. YB Syed sempat berdialog dengan sekumpulan masyarakat kaum Cina di Flat Taman Sahabat yang mewakili kaum peniaga dan juga persatuan nelayan. Beberapa masalah telah dibangkitkan seperti cadangan menaiktaraf bangsal nelayan, menaiktaraf gelanggang bola keranjang dan tandas awam, pembinaan jeti nelayan di Bagan dan penurapan semula jalan kampung Bukit Gemuroh. Kira-kira jam 11.30 pagi lawatan selesai, beliau terus menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Sukaneka anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan yang diadakan di Kg. Nelayan, Teluk Kumbar.

:: Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Majlis Rumah Terbuka DUN Bayan Lepas anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan dan Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas pada 11 Oktober 2009, Ahad yang lalu telah mendapat sambutan yang amat baik dari penduduk sekitar Teluk Kumbar. Pengunjung yang datang terdiri dari pelbagai kaum mencerminkan semangat 1 Malaysia mulai diterima rakyat. Pelbagai juadah dan minuman telah disediakan oleh para petugas yang bertungkus lumus memastikan makanan dan minuman mencukupi.
Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan serta seluruh ahli jawatankuasa kerja yang telah bekerja keras sejak beberapa bulan yang lalu sebagai persiapan bagi mengadakan Jamuan Terbuka pada kali ini. Sekalung tahniah patut diberikan kepada Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kg. Nelayan, Sdr Ahmad Safri dan ahli jawtankuasanya di atas kejayaan itu.
Kesempatan ini YB Tuan Syed Amerruddin mengucapkan terima kasih kepada semua para pengunjung yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka pada tahun ini dan beliau memohon maaf sekiranya ada kekurangan atau kelemahan di mana-mana di sepanjang majlis itu berlangsung. Beliau berharap majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ianya dapat merapatkan hubungan silaturahim dan kemesraan di kalangan rakyat pelbagai kaum melalui semangat 1 Malaysia.

:: Program Ziarah Keluarga-Keluarga OKU!










Ahad,
13 Sept. 2009 YB Syed Amerruddin telah menziarahi beberapa keluarga yang kurang bernasib baik di kawasan Teluk Kumbar. Beliau telah menyampaikan sumbangan duit raya daripada UDA kepada setiap keluarga yang diziarahi. Pengidap penyakit lumpuh sebahagian badan, Saidin berumur kira-kira 62 tahun mengidap penyakit lumpuh sejak 6 tahun yang lalu. Sebenarnya golongan orang kurang upaya masih ramai yang menghadapi nasib yang sama perlu pembelaan dan sumbangan daripada pihak-pihak yang berkemampuan. Seperti tahun-tahun lalu, UDA sekali lagi sudi menghulur sumbangan kepada golongan miskin dan yang tidak bernasib baik bagi meringankan beban mereka untuk persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. YB Syed Amerruddin selaku wakil rakyat kawasan DUN Bayan Lepas telah mengadakan beberapa siri lawatan ke kampung-kampung untuk menyampaikan sendiri bantuan Hari Raya kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada semua Pengerusi JKKKP dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang telah membantu Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas untuk mengenalpasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

:: Pelancaran Program Menjalur Gemilangkan Bandar




Pada 30 Ogos 2009 diadakan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Pulau Pinang di Pusat Khidmat KADUN Bayan Lepas yang dihadiri oleh Pengerusi-Pengerusi JKKKP kawasan DUN Bayan Lepas. Pengarah JASA turut hadir dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh YB Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas. Selepas majlis YB Syed, Pengarah JASA dan beberapa Pengerusi JKKK menyertai aktiviti menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemilik-pemilik premis perniagaan di kawasan Bandar Baru Telok Kumbar.

:: Kebakaran rumah penduduk di Kg. Masjid, Telok Kumbar




Kira-kira jam 12.15 tengah malam, wakil rakyat DUN Bayan Lepas, YB Tuan Syed Amerruddin tiba di tempat kejadian kebakaran selepas beliau mempengerusi suatu mesyuarat di tempat lain. Kehadiran wakil rakyat pada waktu lewat malam itu sedikit sebanyak melegakan mangsa kebakaran tersebut. Tuan punya rumah, Pn Selamah Hj. Mohamad tidak ada di rumah semasa kejadian. Kebakaran yang dikatakan berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu turut merosakkan sebahagian rumah kepunyaan En. Ahmad Said. Pengerusi dan Setiausaha JKKK (P) turut mengikuti lawatan itu bagi kali yang kedua. YB Tuan Syed Amerruddin meminta pemimpin tempatan khususnya Pengerusi JKKK(P) berusaha memberi bantuan melalui saluran yang sedia ada. Punca kejadian masih belum diketahui.

:: AKTIVITI SEKITAR TAHUN 2008 (YANG SEMPAT DIRAKAM)




:: PUSAT KHIDMAT DUN BAYAN LEPAS DIBUKA

Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas telah beroperasi mulai awal bulan Disember 2008 bertempat di No.14, Tingkat Atas, Bandar Baru Telok Kumbar berkongsi ruang pejabat dengan Kelab Sukan Komuniti Bayan Lepas. Wakil Rakyat Kawasan Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, YB Tuan Syed Amerruddin Dato Syed Ahmad mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Pusat Khidmat Khidmat beliau. Selaku wakil rakyat yang berpengalaman, beliau bersedia untuk mendengar dan membantu penduduk yang ada masalah. Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas ini akan dibuka pada setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat pada setiap sesi pagi. Sebelah petang, beliau akan membuat lawatan kerja serta menghadiri perjumpaan-perjumpaan dengan pemimpin masyarakat dan sebagainya. Pegawai khas beliau juga bersedia untuk membantu penduduk semasa ketiadaan beliau di pejabat.