Thursday, July 8, 2010

Kerajaan Pulau Pinang tidak peduli nasib kampung Melayu?

KECEWA dan hampa. Dua perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan perasaan Shima Ismail, 37, salah seorang penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang terhadap sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak endah dengan nasib mereka.
Dia yang merupakan generasi kelima mendiami kampung yang berusia hampir 100 tahun di tengah-tengah bandar Georgetown itu ternyata buntu fikiran kerana tidak tahu kepada siapa lagi untuk menagih simpati.
"Memang kami berharap sangat kerajaan negeri masuk campur.
"Kalau bukan mereka, siapa lagi yang boleh tolong kami?" katanya.
Keluh-kesah Shima memang ada kebenarannya.

Kerajaan negeri adalah pihak yang terbaik untuk menyelesaikan masalah penduduk kampung berkenaan. Ini kerana, mereka boleh campur tangan dengan tidak membenarkan sebarang projek pembangunan di situ jika membabitkan kepentingan awam.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Syed Amerruddin Syed Ahmad memberitahu, kerajaan negeri boleh membatalkannya dan mengisytiharkan tapak kampung itu sebagai zon kampung tradisi.

Apabila telah diwartakan sedemikian, kerajaan negeri berhak mengambil alih kampung terbabit daripada pemaju.

Tindakan tersebut sekali gus dapat menyelamatkan kediaman penduduk kampung daripada menjadi mangsa pembangunan yang ha nya mementingkan keuntungan semata-mata.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna kampung tersebut tidak boleh dibangunkan langsung tetapi perlu dilakukan tanpa menjejaskan bentuk tradisi kampung Melayu.

"Kerajaan negeri ada hak untuk tidak meluluskan projek pembangunan di Kampung Jalan Pokok Asam dan mewartakan sebagai zon kampung tradisi.

"Ini bermakna sebarang bentuk pembangunan perlu mengekalkan ciri-ciri tradisi asal kampung," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rabu lalu, kira-kira 200 penduduk di Kampung Jalan Pokok Asam hampir diusir.
Operasi pengusiran penduduk yang majoriti nelayan sepatutnya dijalankan pada hari tersebut dengan sebuah jentolak dibawa untuk kerja-kerja merobohkan rumah.

Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan bersama beberapa penduduk dengan pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam, tempoh pengosongan ditangguhkan selama tiga bulan hingga 13 Oktober depan.

Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat dengan kos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur. Kini sebuah lagi kampung Melayu di kawasan sama bakal mengalami nasib serupa. Kira-kira 100 buah rumah yang dihuni kira-kira 450 penduduk di Kampung Tengah yang terletak bersebelahan Kampung Jalan Pokok Asam bakal dibangunkan untuk projek komersial oleh sebuah syarikat pemaju lain dalam waktu terdekat. Menurut Syed Amerruddin, pampasan antara RM70,000 dan RM75,000 yang ditawarkan pemaju kepada penduduk kampung ternyata tidak setimpal jika dibandingkan dengan harga semasa rumah di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, dengan wang sebanyak itu, sudah pasti mereka terpaksa berpindah ke tempat lain kerana harga semasa rumah di kawasan sekitar melebihi RM100,000. Katanya, semasa Pulau Pinang di bawah pen tadbiran Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri akan memastikan pemaju mendirikan rumah un tuk menggantikan kediaman setiap penduduk kampung yang terlibat dengan projek pembangunan.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memastikan kebajikan penduduk dijaga sehingga rumah baru mereka siap. "Sebelum rumah ganti siap, penduduk kampung akan diberi bantuan kewangan untuk menyewa rumah lain atau didirikan rumah transit. "Kos untuk pemindahan pun kerajaan negeri bantu," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau melihat kerajaan negeri sekarang seolah-olah tidak peduli dengan nasib kampung-kampung Melayu terbabit.

Beliau menambah, campur tangan pemimpin kerajaan negeri merupakan salah satu cara penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini seterusnya membela nasib orang Melayu.

Sumber: Utusan Malaysia 8 Julai 2010