Saturday, February 5, 2011

Perjumpaan Dengan Nelayan Kecil Pantai di Kuala Sungai Teluk Kumbar

Pada 5 Februari 2011, Jumaat kira-kira jam 3.00 petang suatu Majlis Perjumpaan telah diadakan atas usaha Sdr. Norazli Bahari, Timbalan Ketua UMNO Cawangan Bukit Gemuroh. Turut serta dalam majlis itu ialah YB Syed Amerruddin Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas, Pengerusi JKKKP Bukit Gemuroh, Hj. Nordin Ahmad dan Pengetua SMK Teluk Kumbar 2, Rusli Hashim.
Majlis Perjumpaan itu diadakan bagi menyelesaikan beberapa masalah nelayan terutama berkaitan keahlian mereka dalam Persatuan Nelayan yang tertangguh sekian lama. Kumpulan nelayan ini yang ketuai oleh Pak Lah sedang berusaha untuk mendapatkan lesen bot kerana mereka adalah nelayan tulin yang telah lama menetap dan berkeluarga di situ. Persoalannya mengapakah permohonan menjadi ahli persatuan nelayan begitu sukar sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia yang menetap dan berkeluarga di Teluk Kumbar? Kumpulan nelayan ini merayu agar YB ADUN kawasan ini melalui pemimpin-pemimpin tempatan dapat tangani masalah mereka.
Sebagai nelayan, rakyat Malaysia yang menetap di Teluk Kumbar sepatutnya mereka berhak menikmati subsidi minyak dan elaun sara hidup nelayan sepertimana orang lain. Sebaliknya hak mereka dinafikan sekian lama oleh pihak tertentu tanpa sebab yang munasabah. Sebenarnya YB Syed Amerruddin telah pun membawa masalah ini ke pihak-pihak yang berkenaan tetapi masih tidak berhasil. Beliau melahirkan rasa simpati dengan masalah yang kumpulan nelayan ini dan berjanji akan berusaha untuk membawa isu ini melalui Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan bagi menamatkan kemelut keahlian persatuan nelayan yang berlarutan begitu lama.
Perjumpaan dengan kumpulan nelayan ini berakhir kira-kira jam 5.00 petang dengan penuh kemesraan dan harapan agar masalah nelayan kumpulan ini dapat ditangani dengan baik oleh YB kawasan.